SMS misteri detik cinta berputik antara Sallehudin dan Marlia
SIAPA sangka gelaran 'halimunan' menjadi permulaan epilog cinta dan berputiknya kasih di hati uda serta dara jelita. Kewujudan gajet teknologi canggih tidak disia-siakan si uda dalam usaha memancing hati seterusnya memiliki dara pujaannya. Kuasa Tuhan siapa mampu meramalnya. Meskipun pernah bersua muka, si dara tidak menduga Mohd Sallehudin Zainal Abidin, 27, adalah ‘Halimunan’, pengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) misteri yang dicarinya.
Pertama
kali bersua di Mont Kiara, ketika mengikuti kursus Diploma Pengurusan
Awam untuk Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) anjuran Institut Tadbir Awam
Negara (Intan), masing-masing kelu untuk berkata-kata. Medium
perantaraan melalui telefon dan SMS menjadi langkah pertama Sallehudin
dalam usaha memikat hati, Marlia Mohamed, 25.“Saya berusaha mencari
nombor telefon dia dalam direktori sebab inilah langkah pertama selepas
‘response’ kurang memberangsangkan daripadanya. Ketika kawan ‘kenenkan’
kami, dia gelengkan kepala.“Maklumlah, kulit saya tidak cerah dan
sedikit gelap, tidak seperti lelaki idaman. Mungkin dia tidak yakin
walhal sebelum itu kami duduk bersebelahan. Meskipun sekadar membalas
sapaan serta bertanya khabar hati saya kuat berkata yang dia jodoh
saya,” kata Sallehudin.
Berbekalkan kata hati dan keazaman yang kuat, Sallehudin mengorak langkah drastik memandangkan
Marlia harus bertukar ke program lain, seminggu selepas itu. Kursus
yang diadakan ala survivor itu tidak membenarkan peserta mengadakan
komunikasi dengan pihak luar. Jadi beliau menggunakan nama samaran
Halimunan untuk mengumpan hati Marlia. Enggan berterus-terang terlalu
awal, Sallehudin merahsiakan identiti sebenarnya dan terus mengirimkan
SMS berbentuk dorongan dan prihatin kepada Marlia. Perkenalan dihulur
disambut baik oleh Marlia dan kata-kata seperti ‘jangan risau, saya akan
jaga awak’ seolah menawan hati Marlia dan seterusnya menjadi permulaan
kepada hubungan mereka.Seminggu berlalu, akhirnya Sallehudin tampil
memberanikan diri untuk berterus-terang. Panahan asmara cinta Sallehudin
makin menyengat apabila Marlia sendiri mengakui bahawa dirinya turut
menyimpan perasaan yang sama sejak kali pertama bertemu, namun situasi
ketika itu membuatkan dirinya meluahkan rasa hati berbeza.Gembira dengan
pengakuan Marlia, Sallehudin nekad untuk menyunting Marlia sebagai suri
di hatinya. Beliau ‘melamar’ Marlia untuk menjadi kekasih hatinya
meskipun sedar faktor jarak menjadi penghalang.
Sepanjang
setahun usia perkenalan, mereka gagah mengharungi pelbagai dugaan dan
badai asmara walaupun jarang berjumpa. Hanya telefon menjadi penghubung
ombak kerinduan cinta di hati mereka sehingga mengambil keputusan untuk
memahatkan tugu cinta mereka dan pada 15 Mac lalu, majlis pertunangan
diadakan. Ini diikuti tanggal 5 Disember lalu yang menjadi saksi kepada
perkenalan yang terjalin sejak April 2008 itu dimeterai dengan ikatan
suci dengan pihak lelaki menyediakan hantaran berjumlah RM9,000.
Uniknya, persandingan diadakan sekali dengan majlis adik Marlia di
kediaman pengantin perempuan di Pelabuhan Klang. Cuaca redup seolah
meraikan pasangan dan hampir 1,000 tetamu jemputan hadir menyaksikan
persandingan bersejarah dua pasangan berkenaan. Melayari bahtera bahagia
bersama meskipun si isteri bekerja sebagai pegawai kerajaan di Kuala
Lumpur dan beliau di Putrajaya, kedua-dua mempelai berharap semoga
perkahwinan mereka ini dapat diabadikan buat tatapan umum di samping
menjadi suatu kenangan terindah dalam hidup beliau dan pasangan.