Siem Reap
adalah sebuah bandar kecil yang menawarkan satu pengalaman percutian
yang berbeza berbanding dengan tempat-tempat pelancongan yang lain. Pada
21/1/2011 Pengalaman yang dimaksudkan telah dilalui oleh aku setelah
berada disana selama 3 hari 2 malam. Bagaimanapun percutian aku bersama
isteri tersayang dan 3 orang lagi rakan sepejabat telah terencat apabila
aku bersama isteri telah tertinggal flight. Ianya satu
pengalaman yang akan menjadi pengajaran seumur hidup aku. Menerusi
perbualan kami dengan pihak Immigresen, peristiwa ini sering berlaku ke
atas penumpang-penumpang AirAsia yang lain disebabkan oleh kelemahan
pihak AirAsia. Bagaimanapun peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat
kami untuk terbang ke Siem Reap. Kami membuat keputusan untuk mengambil
flight keesokkan harinya. Pada 22/1/2011, kami meneruskan
perjalanan dengan hati yang cekal dan tepat jam 7.40am kami telah
menjejakkan kaki ke bumi Siem Reap.
Tidak
sampai 2 minit berada di Siem Reap, aku sudah bergambar sakan di
landasan Lapangan terbang Siem Reap. Setelah masuk ke dalam Airport, kami
melalui proses immigresen. Apa yang mengejutkan kami ialah pihak
immgresen Cambodia telah meminta duit tip dari kami, tetapi dengan muka
yang selamba kami buat tidak tahu.
Setelah selesai kesemua proses ketibaan, kami di bawa ke Angkoriana Hotel dengan menggunakan
tuk-tuk. Dengan bayaran USD90, aku sangat berpuas hati dengan suasana
hotel yang cantik. Tanpa membuang waktu, kami mengatur jadual hari
pertama dengan membuat lawatan ke Angkor Wat. Bayaran yang dikenakan
bagi tiket masuk Angkor Wat ialah USD20 bagi satu hari lawatan. Kawasan
Angkor Wat adalah sangat besar, oleh itu dengan masa yang ada kami
merancang untuk pergi ke 3 temple utama iaitu Angkor Wat, Angkor Thom dan Ta Phrom.
Lawatan aku ke Angkor Wat ini telah membuatkan aku terfikir bagaimana
mereka boleh menyiapkan struktur Angkor Wat ini dengan menggunakan
batu-batu yang sangat besar. Mengikut sejarah, Angkor Wat dibina oleh
Raja Suryavarman II pada pertengahan abad ke 12. Pembinaan Angkor Wat
memakan masa selama 30 tahun. Ia merupakan bangunan keagamaan yang
terbesar di dunia dan juga merupakan satu hasil binaan tunggal yang
terbesar di Asia
Tenggara. Sepanjang perjalanan kami mengelilingi Angkor Wat, kami
seringkali dihampiri dengan kanak-kanak Kemboja menjual barang-barang
tempatan. Mereka akan cuba mengikuti kami bagi menjual barang-barang
mereka. Lawatan sehari mengelilingi Angkor Wat sangat meletihkan
ditambah lagi dengan cuaca yang panas, bagaimanapun pengalaman berada di
Angkor Wat sangat mengujakan kami.
Hari
kedua kami bertolak untuk melihat sebuah perkampungan air di Tonle Sap.
Sebelum sampai di tasik tersebut kami melalui sebuah perkampungan yang
sangat daif. Rumah-rumah yang didirikan usang dan tiada perabot-perabot
seperti sofa, peti sejuk dan meja makan. Suasana disini kelihatan
seperti tiada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Kemboja bagi
memberi kemudahan yang lebih selesa kepada mereka. Menyusuri tasik Tonle
Sap juga membuatkan hati kami sangat sedih dengan kedaifan mereka.
Dikala menikmati permandangan sausana perkampungan air, kami dikejutkan
dengan kehadiran sebuah sampan yang menghampiri kami bagi meminta
sedekah sebanyak USD1. Dua orang kanak-kanak dengan ditemani bapanya
merayu-rayu supaya diberikan duit. Bagaimana pun kami hanya memberikan
gula-gula dan coklat kepada mereka. Peristiwa itu tidak terhenti setakat
itu sahaja, tetapi kali ini bot kami cuba dikejar oleh seorang budak
yang berumur lingkungan 7 tahun dengan hanya menggunakan besen dan
sebatang kayu. Bagaimana pun, usahanya gagal apabila bot kami jauh
meninggalkan budak tersebut dengan riak wajah yang hampa. Tika sampai di
sebuah kedai terapung, kami dikejutkan dengan sebuah sangkar buaya.
Buaya-buaya tersebut ditangkap dan dibunuh untuk diambil kulitnya.
Perjalanan pulang kami ke daratan dihidangkan dengan beberapa buah
kemudahan seperti sekolah, kedai dan gereja bagi keperluan pendudukan
kampung air tersebut.
Kedaifan masyarakat Kemboja
Di sebelah tengahari kami lunch di sebuah restoran yang diusahakan oleh orang Malaysia iaitu
D’Wau Restoran. Menu pilihan kami ialah lauk amok iaitu makanan tradisi
Kemboja. Masakan amok dimasak bersama santan dan pelbagai jenis rempah,
biasanya berlaukkan ayam atau ikan. Di sebelah restoran D’Wau ini
terdapat sebuah hotel yang dimiliki orang orang Islam Kemboja.
Dikesempatan ini, kami mengambil peluang untuk menumpang bagi
mengerjakan solat Zohor di hotel tersebut. Kami diberi sebuah bilik bagi
mengerjakan solat Zohor. Ucapan berbanyak terima kasih kepada pemilik
hotel tersebut.
Setelah selesai makan tengahhari dan mengerjakan solat Zohor, kami meneruskan agenda seperti yang dirancang ke Old Market dan Local Market. Program
membeli-belah adalah antara agenda yang sangat ditunggu-tunggu.
Membeli-belah di Siem Reap tidak lengkap sekiranya tidak membeli Cambodia Silk dan hiasan alas meja. Rundingan tawar- menawar adalah skill yang amat diperlukan bagi mendapatkan harga yang paling menarik. Bagi Cambodia Silk harga
yang paling rendah kami dapat ialah USD 10 untuk 8 helai. Hati kami
terasa puas apabila dapat membeli dengan harga yang diingini.
Program membeli-belah diteruskan dengan lokasi seterusnya iaitu di Night Market. Bagaimanapun, harga yang ditawarkan di Night Market lebih mahal berbanding dengan Old Market dan Local Market, ini mungkin kerana Night Market menjadi
tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, kami membatalkan hasrat untuk
membeli belah, sebaliknya kami mendapatkan rawatan fish massage. Dengan
bayaran sebanyak USD2, kami diberi peluang untuk meletakkan kaki-kaki
kami selama satu jam didalam kolam untuk diurut oleh ikan-ikan. Harga
yang ditawarkan ini adalah murah berbanding dengan harga di Malaysia.
Selesai diurut oleh ikan-ikan Kemboja, seterusnya kami mengakhiri
ekspidisi kami dengan berjalan-jalan di Pub Street yang terletak berhampiran dengan Night Market. Suasana di Pub Street adalah sangat happening, bagaimanapun aku berasa pening dan
bingit berada lama disini, sehubungan dengan itu kami mengambil
keputusan untuk pulang ke hotel bagi mengemas beg untuk kembali ke
Malaysia pada keesokan harinya.
Pada
24/1/2010, kami berlepas ke Airport pada jam 6.50 pagi dengan dihantar
oleh van yang disediakan oleh hotel. Kami mengakhiri percutian di Siem
Reap dengan menyaksikan suasana pagi Isnin di Bandar kecil ini. Kiri dan
kanan kami kelihatan rakyat Siem Reap sibuk dengan aktiviti harian
masing-masing. Selama 3 hari dan 2 malam berada di Siem Reap membuatkan
aku lebih bersyukur berada di bumi Malaysia. Suasana di Siem Reap tidak
ubah seperti Malaysia pada 30 tahun dahulu.