Dalam riwayat Abu Hurairah dikatakan orang yang kuat tidaklah yang
kuat dalam bergelut, namun mereka yang boleh mengawal dirinya ketika
marah (H.R. Malik).
Dan dalam riwayat Abu Said al-Khudri, Rasulullah saw bersabda
sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat reda,
sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat reda
(H.R.Ahmad).
Marah adalah satu sifat yang tidak boleh dielakkan dan ada dalam hati setiap manusia apabila berlaku situasi yang tidak kita ingini. Ketika seseorang sedang berada dalam keadaan marah, akal serta fikirannya tertutup dan saat itu syaitan akan mengambil kesempatan untuk menghasut kita buat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagai contoh mencarut, mencederakan diri sendiri, membunuh dan sebagainya. Selepas kemarahan sudah reda, seseorang itu akan kesal setelah ia sedar dengan kelakuannya yang salah itu. Tetapi segalanya sudah terjadi dan tidak boleh diundur. Sebaliknya sekiranya kita dapat mengawal kemarahan dan bertindak dengan lebih rasional, kita akan lebih tenang dan kuat selepas kemarahan reda. Tidak guna kita mempunyai kekuatan fizikal dengan saiz badan yang sasa tetapi apabila berada dalam keadaan marah mereka tewas dengan hasutan syaitan. Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w. mengajarkita mengucap Ta’awudz “A’udzu billahi minasy syaithoonir rajeem – Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk” bagi menghalau syaitan yang cuba menganggu pertimbangan kita ketika sedang marah. Dunia akan menjadi lebih aman sekiranya manusia boleh mengawal kemarahan mereka.
Antara cara-cara bagi mengawal diri kita apabila berada dalam keadaan marah ialah:
1) Mengubah posisi ketika marah. Sekira kita marah ketika sedang
berdiri maka hendaklah kita duduk, dan jika kita sedang duduk maka
hendaklah kita berbaring. Cara ini dalah sebagaimana yang diterangkan
dalam sabda Rasullulah s.a.w “ Marah itu daripada Syaitan, maka apabila
salah seorang diantara kamu dalam keadaan berdiri duduklah dan apabila
dalam keadaan duduk maka berbaringlah” (Riwayat Asy-Syaikhany).
2) Berusahalah untuk diam atau tidak banyak bicara, sebagaimana
sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara
kamu marah maka diamlah.” (Riwayat Ahmad).
3) Terus-menerus berzikir kerana zikir adalah senjata utama bagi
segala masalah. Berzikir akan memberikan kita kekuatan tenaga yang
seterusnya memberi tindak balas positif kepada akal kita. Langkah ini
akan menghindarkan kita dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya
ketika sedang marah. Allah telah menjelaskan bahwa hati manusia akan
tenang dan tenteram dengan mengingat Allah. Allah berfirman :Sangatlah
dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram(Ar-Raf : 28).
Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk bertenang dan melakukan apa
yang telah diajarkan oleh Islam bagi mengawal kemarahan. Secara
kesimpulannya kekuatan sebenar seseorang manusia adalah bukan kerana
fizikalnya yang besar, bukan kerana kuatnya memukul orang, bukan kerana
aktifnya bersukan tetapi kerana tenangnya mengawal kemarahan.
No comments:
Post a Comment