Thursday 2 February 2012

Kembara Siem Reap


Siem Reap adalah sebuah bandar kecil yang menawarkan satu pengalaman percutian yang berbeza berbanding dengan tempat-tempat pelancongan yang lain. Pada 21/1/2011 Pengalaman yang dimaksudkan telah dilalui oleh aku setelah berada disana selama 3 hari 2 malam. Bagaimanapun percutian aku bersama isteri tersayang dan 3 orang lagi rakan sepejabat telah terencat apabila aku bersama isteri telah tertinggal flight.  Ianya satu pengalaman yang akan menjadi pengajaran seumur hidup aku. Menerusi perbualan kami dengan pihak Immigresen, peristiwa ini sering berlaku ke atas penumpang-penumpang AirAsia yang lain disebabkan oleh kelemahan pihak AirAsia. Bagaimanapun peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat kami untuk terbang ke Siem Reap. Kami membuat keputusan untuk mengambil flight keesokkan harinya. Pada 22/1/2011, kami meneruskan perjalanan dengan hati yang cekal dan tepat jam 7.40am kami telah menjejakkan kaki ke bumi Siem Reap.

Tidak sampai 2 minit berada di Siem Reap, aku sudah bergambar sakan di landasan Lapangan terbang Siem Reap. Setelah masuk ke dalam Airport, kami melalui proses immigresen. Apa yang mengejutkan kami ialah pihak immgresen Cambodia telah meminta duit tip dari kami, tetapi dengan muka yang selamba kami buat tidak tahu.

Setelah selesai kesemua proses ketibaan, kami di bawa ke Angkoriana Hotel dengan menggunakan tuk-tuk. Dengan bayaran USD90, aku sangat berpuas hati dengan suasana hotel yang cantik. Tanpa membuang waktu, kami mengatur jadual hari pertama dengan membuat lawatan ke Angkor Wat. Bayaran yang dikenakan bagi tiket masuk Angkor Wat ialah USD20 bagi satu hari lawatan. Kawasan Angkor Wat adalah sangat besar, oleh itu dengan masa yang ada kami merancang untuk pergi ke 3 temple utama iaitu Angkor Wat, Angkor Thom dan Ta Phrom. Lawatan aku ke Angkor Wat ini telah membuatkan aku terfikir bagaimana mereka boleh menyiapkan struktur Angkor Wat ini dengan menggunakan batu-batu yang sangat besar. Mengikut sejarah, Angkor Wat dibina oleh Raja Suryavarman II pada pertengahan abad ke 12. Pembinaan Angkor Wat memakan masa selama 30 tahun. Ia merupakan bangunan keagamaan yang terbesar di dunia dan juga merupakan satu hasil binaan tunggal yang terbesar di Asia Tenggara. Sepanjang perjalanan kami mengelilingi Angkor Wat, kami seringkali dihampiri dengan kanak-kanak Kemboja menjual barang-barang tempatan. Mereka akan cuba mengikuti kami bagi menjual barang-barang mereka. Lawatan sehari mengelilingi Angkor Wat sangat meletihkan ditambah lagi dengan cuaca yang panas, bagaimanapun pengalaman berada di Angkor Wat sangat mengujakan kami.
Tuk-tuk
Kanak-kanak Kemboja merayu bagi mendapatkan USD1
Kanak-kanak Kemboja mencari rezeki dari bot ke bot
Hari kedua kami bertolak untuk melihat sebuah perkampungan air di Tonle Sap. Sebelum sampai di tasik tersebut kami melalui sebuah perkampungan yang sangat daif. Rumah-rumah yang didirikan usang dan tiada perabot-perabot seperti sofa, peti sejuk dan meja makan. Suasana disini kelihatan seperti tiada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Kemboja bagi memberi kemudahan yang lebih selesa kepada mereka. Menyusuri tasik Tonle Sap juga membuatkan hati kami sangat sedih dengan kedaifan mereka. Dikala menikmati permandangan sausana perkampungan air, kami dikejutkan dengan kehadiran sebuah sampan yang menghampiri kami bagi meminta sedekah sebanyak USD1. Dua orang kanak-kanak dengan ditemani bapanya merayu-rayu supaya diberikan duit. Bagaimana pun kami hanya memberikan gula-gula dan coklat kepada mereka. Peristiwa itu tidak terhenti setakat itu sahaja, tetapi kali ini bot kami cuba dikejar oleh seorang budak yang berumur lingkungan 7 tahun dengan hanya menggunakan besen dan sebatang kayu. Bagaimana pun, usahanya gagal apabila bot kami jauh meninggalkan budak tersebut dengan riak wajah yang hampa. Tika sampai di sebuah kedai terapung, kami dikejutkan dengan sebuah sangkar buaya. Buaya-buaya tersebut ditangkap dan dibunuh untuk diambil kulitnya. Perjalanan pulang kami ke daratan dihidangkan dengan beberapa buah kemudahan seperti sekolah, kedai dan gereja bagi keperluan pendudukan kampung air tersebut.
Kedaifan masyarakat Kemboja
Di sebelah tengahari kami lunch di sebuah restoran yang diusahakan oleh orang Malaysia iaitu D’Wau Restoran. Menu pilihan kami ialah lauk amok iaitu makanan tradisi Kemboja. Masakan amok dimasak bersama santan dan pelbagai jenis rempah, biasanya berlaukkan ayam atau ikan. Di sebelah restoran D’Wau ini terdapat sebuah hotel yang dimiliki orang orang Islam Kemboja. Dikesempatan ini, kami mengambil peluang untuk menumpang bagi mengerjakan solat Zohor di hotel tersebut. Kami diberi sebuah bilik bagi mengerjakan solat Zohor. Ucapan berbanyak terima kasih kepada pemilik hotel tersebut.
Bersama pengusaha Restoran D'Wau
 
Setelah selesai makan tengahhari dan mengerjakan solat Zohor, kami meneruskan agenda seperti yang dirancang ke Old Market dan Local Market. Program membeli-belah adalah antara agenda yang sangat ditunggu-tunggu. Membeli-belah di Siem Reap tidak lengkap sekiranya tidak membeli Cambodia Silk dan hiasan alas meja. Rundingan tawar- menawar adalah skill yang amat diperlukan bagi mendapatkan harga yang paling menarik. Bagi Cambodia Silk harga yang paling rendah kami dapat ialah USD 10 untuk 8 helai. Hati kami terasa puas apabila dapat membeli dengan harga yang diingini.

Program membeli-belah diteruskan dengan lokasi seterusnya iaitu di Night Market. Bagaimanapun, harga yang ditawarkan di Night Market lebih mahal berbanding dengan Old Market dan Local Market, ini mungkin kerana Night Market menjadi tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, kami membatalkan hasrat untuk membeli belah, sebaliknya kami mendapatkan rawatan fish massage. Dengan bayaran sebanyak USD2, kami diberi peluang untuk meletakkan kaki-kaki kami selama satu jam didalam kolam untuk diurut oleh ikan-ikan. Harga yang ditawarkan ini adalah murah berbanding dengan harga di Malaysia. Selesai diurut oleh ikan-ikan Kemboja, seterusnya kami mengakhiri ekspidisi kami dengan berjalan-jalan di Pub Street yang terletak berhampiran dengan Night Market. Suasana di Pub Street adalah sangat happening, bagaimanapun aku berasa pening dan bingit berada lama disini, sehubungan dengan itu kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel bagi mengemas beg untuk kembali ke Malaysia pada keesokan harinya.


 





Pada 24/1/2010, kami berlepas ke Airport pada jam 6.50 pagi dengan dihantar oleh van yang disediakan oleh hotel. Kami mengakhiri percutian di Siem Reap dengan menyaksikan suasana pagi Isnin di Bandar kecil ini. Kiri dan kanan kami kelihatan rakyat Siem Reap sibuk dengan aktiviti harian masing-masing. Selama 3 hari dan 2 malam berada di Siem Reap membuatkan aku lebih bersyukur berada di bumi Malaysia. Suasana di Siem Reap tidak ubah seperti Malaysia pada 30 tahun dahulu.