Tuesday 1 October 2013

Kedai Bawah Pokok...Tak perlu kedai 5 bintang untuk bahagia...




Sebuah gerai terletak di pintu 1 Putrajaya di hadapan INSPEN2 adalah gerai pilihan aku untuk makan tengahari kerana gerai tersebut menjual makanan yang sedap seperti laksa, mee sup, nasi ayam, goreng pisang dan keropok lekor dengan harga yang berpatutan. Aku namakan gerai tersebut “kedai bawah pokok” kerana terdapat beberapa pokok besar yang menjadikan gerai tersebut redup. 

Tetapi yang menarik perhatian aku tetang pemilik dan pekerja gerai ini adalah raut wajah mereka mengambarkan mereka gembira dengan apa yang mereka lakukan. Mereka melayan setiap pelanggan dengan senyuman serta kadangkala bergurau dengan pelanggan. Mereka sangat enjoy dengan pekerjaan mereka. Mereka tidak perlu memakai uniform atau pakaian yang kemas, cantik dan bergaya untuk menjadikan pekerjaan mereka seronok. Mereka kelihatan puas dengan apa yang mereka lakukan. 

Dan aku yakin walaupun mungkin pendapatan mereka tidaklah sebanyak gaji sehari seorang CEO, Chairman atau Lembaga-Lembaga Pengarah syarikat MNC di Malaysia, tetapi mereka bersyukur dan rasa bahagia dengan apa yang mereka buat dan dapat. Kadangkala kita tidak perlu mencari kekayaan untuk menjadi diri kita bahagia. Apa yang penting kita perlu suka dengan apa yang kita buat dan stakeholder akan senang hati dengan hasil kerja kita. Tak guna sekiranya kita mempunyai gaji yang banyak tetapi kita tidak suka dengan apa yang kita buat dan akhirnya menjadikan diri kita stress, seterusnya kita lepaskan stress kita denga mutu kerja yang tidak bermutu. Kerana sebagai manusia yang biasa, apa yang kita cari sebenarnya ialah kebahagiaan dan ketenangan hati bukan kemewahan.


Sekiranya kita tidak suka dan tidak mempunyai pilihan untuk memilih kerja yang kita lakukan, kita perlu menjadikan kerja tersebut enjoy. Kita tidak boleh mengharapkan rakan sekerja atau bos untuk menjadikan kita suka dengan apa yang kita buat. Ianya perlu bermula dari diri sendiri dengan sentiasa bermotivasi. Pertama sekali, kita perlu meletakkan diri sebagai sebagai orang yang sangat hebat dalam membuat apa sahaja kerja yang diberikan. Kita perlu yakin bahawa orang yang hebat adalah orang mampu membuat semua kerja dengan baik dan tenang. Kedua, kita perlu menggangap kerja yang kita tidak suka tersebut adalah satu cabaran yang perlu di hadapi. Sekiranya kita tidak suka dengan suasana kerja atau orang sekeliling yang bekerja dengan kita, anggaplah mereka seperti semut-semut yang cuba untuk masuk ke dalam cawan kita yang berisi air sirap bandung soda. Dengan sekali jentik kita boleh megeluarkan semut-semut tersebut. Orang yang hebat adalah orang yang mampu menghadapi semua cabaran dengan baik dan tenang. Ketiga, kita perlu melakukan sesuatu kerja tersebut bermula dari hati seterusnya naik ke otak. Jangan melakukan kerja bermula dari otak dan turun ke hati, kerana nasfu akan menguasai diri kita. Ini akan menjadikan kita cepat marah dan stress. Jika bekerja bermula dari hati, kita akan tenang dan sentiasa mudah melakukan tugas. Walaubagaimanapun, hati tersebut perlu sentiasa dicuci dengan zikir-zikir dan amalan-amalan sunat harian yang konsisten. Selain daripada itu, sekiranya kita berkerja dari hati, kita akan sentiasa mahu belajar dan mendalami dengan apa yang kita buat. Kita juga akan selalu mencari jawapan dalam setiap kemuskillan yang timbul. Ini juga sama seperti sekiranya kita sudah jatuh hati dengan seorang perempuan/jejaka. Kita akan sedaya upaya cuba mengenali lebih dekat atau mendekati perempuan/jejaka tersebut dan akan berusaha supaya perempuan/jejaka itu akhirnya menjadi suami/isteri kita.

Oleh itu, kesimpulannya kita perlulah bahagia dengan kerja kita. Sekiranya kita tidak bahagia dengan apa yang kita buat, cari lah kerja lain yang boleh membahagiakan kita atau carilah jalan supaya kita sentiasa bahagia. Kerana jangan cari kemewahan wang ringgit untuk kejar kebahagian. Carilah kebahagiaan untuk dapat kemewahan hati.




No comments:

Post a Comment